Saturday, March 23, 2013

Cita-Cita dan Cintaku Tidak Pernah Padam Hinggalah Hujung Hela Nafasku


Assalammualaikum wbt...

Tiba-tiba terfikir untuk mencoretkan kisah selama hampir 25 tahun hidup di muka bumi Allah SWT. Blog Wardahtul Jannah sunyi sepi, berhabuk dan usang tidak diziarah oleh tuannya. Dan aku akui itu memang kekhilafan diri yang malas mencoret sesuatu...Tapi hari ini terdetik untuk melakar cerita diruang wardahal-Jannah.

Hari ini, telah hampir tujuh bulan diri bergelar seorang pelajar Sarjana Pendidikan (Fizik). Bergelar pendidik dan mempelajari ilmu pendidikan merupakan sesuatu yang aku cintai sejak di usia belasan tahun. Mungkin juga tempias daripada ibu dan ayah ku yang kedua-duanya  memang pendidik tegar. Kata orang "kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi". Namun perancangan Allah lebih indah dan terbaik. Setelah keputusan SPM diumumkan aku menjejakkan kaki ke Matrikulasi Labuan pada tahun 2006/2007 dan meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam Ijazah Sarjana Muda (Fizik Kesihatan) pada tahun 2007/2010. Pelik bukan??? kata ingin menjadi pendidik, tapi kenapa memilih fizik kesihatan? Nah, itulah yang ku katakan indahnya perancangan Allah buat hambanya. Sudah dicuba, namun inilah yang Allah berikan. Alhamdulillah :)

Jadi anak soleh solehah
Setelah tamat pengajian, maka tamatlah juga aku menceburkan diri dalam Fizik Kesihatan. Namun, cita-cita dan impian ku tidak pernah padam untuk menjadi pendidik. Aku teruskan impianku menjadi guru ganti sebanyak dua kali di daerah kelahiranku. Hinggalah suatu hari, Allah SWT mengizinkan aku bergelar seorang "ustazah" selama setahun lebih di Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari, Kota Belud. SubhanaaAllah...  Tidak ada perkara yang paling mengembirakan diriku, pabila anak didik yang tidak mengeanl huruf alif, kini lancar membaca Al-Quran.. Rupanya Allah telah mengaturkan kehidupanku dengan peristiwa yang cukup sempurna. 

Tibalah tanggal September 2012, aku mendaftar sebagai seorang pelajar di peringkat Sarjana Pendidikan dengan pengkhususan Fizik. Subjek Fizik sentiasa mengekoriku, walaupun aku tidaklah sehandal kamu dalam penguasaanya. Alhamdulillah, SubhanAllah syukur ya Allah. Akhirnya, aku berpeluang untuk menghayati, menelaah, dan mempelajari ilmu dalam bidang pendidikan dan insyaAllah ingin menguasainya.

Dengan ini, terlakarlah episod aku bergelar pelajar semula di Universiti Tarbiyah Malaysia. Medan awal pentarbiyahanku untuk menjadi seorang anak haraki suatu ketika dahulu. MasyaAllah, Maha Suci Allah yang telah menetapka segalanya-galanya. Dengan izin Allah yang Maha Kuasa, aku serahkan segalanya selepas tamatnya pengajianku selama empat sem yang sepatutnya tiga sem untuk pelajar "full time" seperti aku. Kerana cinta ilmu dan pensyarah terbaik yang mendidikku, aku menetapkan tekad menghabiskan pengajianku selama empat sem walaupun itu adalah tempoh yang agak lama kot ^_^. Apalah yang lebih ku inginkan melainkan niat ku untuk betul-betul menguasainya agar dapat diaplikasikan dimasa akan datang. InsyaAllah...

Hanya dengan izin dan kehendak Allah, setelah tamatnya pengajianku, ingin ku teruskan impian , cita dan cintaku untuk bergelar seorang pendidik dan berhajat menubuhkan sebuah institusi pendidikan bersamanya. Walaupun aku tahu, belum tentu siapakah pendamping hatiku yang bakal melayari suka duka bersama-sama. Namun ku pasti, dia sedang mempersiapkan dirinya untuk menjadi pendorong, penguat dan paling penting sebagai teman, ketua, pengkritik yang sentiasa setia bersamaku dalam merealisasikan cita dan cinta yang tidak pernah padam hinggalah hujung hela nafasku. Tidak hari ini, ada hari esok. Tidak tahun ini, ada tahun depan dan tidak diri ini, biar zuriat meneruskan. Semua hanya dengan kehendak dan izin Allah SWT. InsyaAllah...
READ MORE –