Tuesday, April 5, 2011

Aku Adalah Seorang Daie

Suatu perkongsian yang ana rasakan perlu untuk sahabat-sahabat, adik-adik, serta untuk diri ana yang  mana dengan memilih jalan dakwah sebagai jalan sepanjang menempuh kehidupan di dunia yang sementara. Tidak kira,sama ada di alam kampus, di sekolah mahupun di kawasan atau negeri masing-masing. 
 
 
Wahai saudara-saudara yang ana kasihi sekalian, perjalanan dakwah merupakan suatu perjalanan yang panjang dan penuh dengan onak durinya. Ia merupakan suatu perjalanan tarbiyah yang telah diatur olah Allah Swt kepada hamba-hamba yang dipilih oleh-Nya.
 
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah Swt. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Ali-Imran:110)
 
Dalam kehidupan seorang daie, hakikatnya kita sedar bahawa dalam kesibukan seharian sama ada bekerja atau belajar,  kita seharusnya berusaha untuk mencari kesempatan meningkatkan kualiti diri sebagai daie. Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini memberikan manafaat kepada antum.

Pertama, perlu cerdas dalam berorganisasi. Jalan tarbiyyah memerlukan bukan sahaja peribadi-peribadi yang ikhlas, namun harus produktif dan memaksima potensi diri. Dengan kata lain, ikhlas sahaja tidak cukup, perlu bijak memanfaatkan organisasi yang disertai untuk memacu perjalanan dakwah dan tarbiyah.

Seorang mahasiswa, pelajar yang cerdas, perlu memilih organisasi yang sesuai dengan fitrah, bukan sembarangan organisasi seperti sesetengah kelab  yang membudayakan pergaulan bebas, yang fokus hanya pada pembangunan fizikal, mental tapi mengabaikan pembangunan jiwa para ahlinya. Sangat perlu memilih kelab yang mampu menggarap potensi kalian sebagai pemuda/i dari segala aspek seperti kepimpinan, komunikasi, teamwork dan sebagainya. Terutama aspek kecerdasan iman dan ruhiyyah, di sebalik seribu satu agenda musuh-musuh Islam yang meruntuhkan peribadi Islami pemuda yang mencari erti mukmin. Tidak semestinya memilih Persatuan Pelajar Islam atau Kelab Amar Makruf, namun organisasi yang dipilih sebaiknya boleh bekerjasama dan berkembang untuk misi dan visi dakwah. Kecerdasan antum memilih akan membantu antum melihat organisasi tersebut sebagai wasilah yang sangat baik untuk menghidupkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah.

Apa kesan tidak cerdas mengorganisasi? Pertama, kerja banyak, masa terbuang, namun tidak nampak nilai tarbiyyah. Sibuk ke sana ke mari berprogram, ruhiyyah menjadi penat, kerjasama dengan rakan sekelab mudah kucar kacir kerana matlamatnya jauh dari membawa manusia mengenal ALLAH. Timbullah isu untuk meletak jawatan dan gosip liar memburukkan persatuan sendiri.
 
Kedua, apabila hebat berorganisasi tapi tak cerdas, hasilnya kita kenal ramai orang, orang besar orang kecil, namun, kita tidak manfaatkan untuk menggiatkan dakwah dan tarbiyyah. Hanya berbangga mendampingi tokoh-tokoh yang dikenali, namun rakan persatuan yang lain makin hilang jati diri kerana program-program yang dianjurkan sifatnya sementara dan kering. Hanya memenuhkan jadual program setiap semester atau setiap tahun. Banyak aktiviti, namun tiada sasaran yang jelas. Seterusnya, seorang daie perlu memiliki gagasan pemikiran yang mantap dan luas. Harus perlu membaca, membaca dan membaca. Tidak boleh tidak, seorang daie perlu selalu memperdalam ilmu dan kematangan dengan jadual bacaan yang konsisten. Apapan bidang dan pilihan ilmu yang ingin dikuasai, semua ini perlu bersumber Al Quran dan As Sunnah.

Tidak mungkin untuk mempunyai kekuatan hujah, jika tiada intensif dengan tilawah dan tadabur Al Quran. Perlu dekat pada Sunnah Rasulullah SAW dan cinta untuk mengamalkannya. Dengan ilmu yang sentiasa dipelajari, para daie mampu meneguhkan gagasan pemikiran bukan sekadar berorientasi kejayaan dunia, namun gagasan pemikiran yang membawa keberuntungan sebenar di akhirat.

Untuk menyaksikan kesinambungan dakwah juga, seorang daie harus punya sensitiviti yang tinggi untuk menjaga keamanan perjalanan tarbiyyah dan dakwah di kampus, sekolah atau kawasan masing-masing. Berusaha 'memurnikan' program dengan kelulusan, mengikut syarat yang diletakkan dalam berprogram. Daie yang cerdas memandang jauh ke depan, tidak mahu di lucutkan dari gelaran mahasiswa kerana emosi, tidak mahu usaha tarbiyyah orang lain di kampus juga terus dipatahkan HEMA hanya kerana semangat yang melebihi kematangan.[Khusus untuk sahabat di alam kampus]


Ya, dakwah menyeru pada manusia kepada Allah itu sunnatullahnya dimusuhi sepanjang adanya langit dan bumi, namun cara berdakwah itu tidak harus dibenci orang yakni mad'u. Perlu mengambil ibrah dari dakwah Rasulullah Saw yang berkembang luas, bagaimana Rasulullah sangat matang berdakwah dengan nilai ilmu dan keimanan tanpa melupakan perancangan jua strategi. Bagaimana indahnya tutur bicara dan perilaku baginda yang menjadikan orang sekeliling cinta pada agama Allah ini, lembutnya sikap baginda amat menyentuh perasaan, dalam masa yang sama, ketegasan baginda tidak menjengkelkan. Inilah yang berusaha untuk kita contohi.

Wahai para daie yang diramhati Allah, timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya walau dimana jua. Pengalaman itu tidak datang sendiri melainkan melalui jatuh bangun, kejayaan dan kegagalan kalian sepanjang berprogram dan beraktiviti. Daie yang ikhlas akan membantu saudaranya yang tersilap di jalan dakwah, daie yang ikhlas juga akan mengambil teguran dan nasihat temannya untuk terus thabat di jalan yang sulit ini.

Yang keempat, ayuh saudaraku, kita berusaha menjadi teladan dalam beramal. Inilah bahagian sukar dalam lapangan dakwah, kita diuji dengan kekangan diri untuk merealitikan kebaikan yang diseru. Kita alpa melakukan kebaikan yang diseru kadang-kadang, ada masanya diri sendiri terjatuh pada perkara berdosa dan maksiat yang kita cuba cegah di jalan tarbiyyah ini. Banyak sekali senarai karater mulia yang perlu dilengkapkan pada diri. Sudahkah kita para daie menjadi anak, suami atau isteri yang menunaikan sebaiknya hak ibubapa dan pasangan? Sudahkah kita menjadi orang yang menjaga dan memanfaatkan masa hingga kita menukar 'janji melayu' kepada 'janji daie'? Menjadi daie sangat perlu untuk mempunyai akhlak yang mendamaikan hati di mana pun berada. Sangat penting menjaga itqan dan jiddiyah di lapangan kerja dan belajar.
 

Yang terakhir, para daie harus punya ruhiyyah yang tinggi. Semakin banyak bekerja, semakin jauh melangkah di jalan dakwah ini, para daei harus mempunyai ruhiyyah yang sering basah dengan keimanan dan ketaqwaan. Kekuatan ruhiyyah menjadi bekal agung dalam dakwah. Ruhiyyah itu ibarat petrol pada kenderaan, harus selalu diisi supaya perjalanan lancar dan istiqamah. Ruhiyyah yang segar itu yang memperbaharui keikhlasan.

Ada kata-kata menyebut, iman itu turun dan naik. Benar sekali, arus global yang bergerak pantas menyaksikan kepantasan syaitan melemah segenap kekuatan muslim. Mudah sahaja rasa bersemangat di pagi hari, namun di petang hari imannya kembali memudar. Hanya mujahadah dan hati yang sering zikrullah jua zikrulmaut dapat memelihara diri dari godaan dunia dan tipu daya syaitan.

Duhai putera wa puteri daie , kitakah yang sering berprogram ke tengah malam hingga lelah tidak terbangun untuk solat malam? Malah subuhnya sering di penghujung waktu? Kita berprogram menjaga kebajikan teman, adakah kita juga prihatin urusan ibu ayah yang menanti kehadiran kita memberi warna baru dalam musykil keluarga yang tak kunjung habis? Kitakah yang rancak bersembang hal dakwah namun tidak rancak bertilawah dan tadabbur sedangkan Al Quran itulah yang menyalurkan kekuatan terhebat pada para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Mungkinkah benar menyeru pada Allah jika Al-Quran dan solat tahajjud tidak menjadi sumber rujukan, ketenangan dan kekuatan para daie sekalian.

Insyallah sama-sama kita kembali cerdas dalam berorganisasi, dan meningkatkan wawasan pemikiran dengan pembacaan dan pengkajian ilmu. Bersama juga kita meningkatkan sensitiviti menjaga 'keamanan' perjalanan dakwah untuk jangka panjang di samping menjadi teladan dalam beramal. Dan teruslah kesegaran ruhiyyah di jaga agar kita sering ikhlas dan istiqamah di jalan para rasul.
Inilah sedikit sebanyak perkongsian yang ana belajar untuk bersama-sama kalian mencari redha-Nya. Insyallah marilah kita sama-sama bermuhasabah diri memberi yang terbaik dalam amanah yang ditunaikan. Allah, berat terasa dibahu ini untuk memikulnya. Tapi perlu dietruskan demi melihat Islam subur di muka bumi. Allahuakhbar...Allahuakhbar...Allahuakhbar!


No comments:

Post a Comment