Showing posts with label Cerita. Show all posts
Showing posts with label Cerita. Show all posts

Saturday, March 23, 2013

Cita-Cita dan Cintaku Tidak Pernah Padam Hinggalah Hujung Hela Nafasku


Assalammualaikum wbt...

Tiba-tiba terfikir untuk mencoretkan kisah selama hampir 25 tahun hidup di muka bumi Allah SWT. Blog Wardahtul Jannah sunyi sepi, berhabuk dan usang tidak diziarah oleh tuannya. Dan aku akui itu memang kekhilafan diri yang malas mencoret sesuatu...Tapi hari ini terdetik untuk melakar cerita diruang wardahal-Jannah.

Hari ini, telah hampir tujuh bulan diri bergelar seorang pelajar Sarjana Pendidikan (Fizik). Bergelar pendidik dan mempelajari ilmu pendidikan merupakan sesuatu yang aku cintai sejak di usia belasan tahun. Mungkin juga tempias daripada ibu dan ayah ku yang kedua-duanya  memang pendidik tegar. Kata orang "kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi". Namun perancangan Allah lebih indah dan terbaik. Setelah keputusan SPM diumumkan aku menjejakkan kaki ke Matrikulasi Labuan pada tahun 2006/2007 dan meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam Ijazah Sarjana Muda (Fizik Kesihatan) pada tahun 2007/2010. Pelik bukan??? kata ingin menjadi pendidik, tapi kenapa memilih fizik kesihatan? Nah, itulah yang ku katakan indahnya perancangan Allah buat hambanya. Sudah dicuba, namun inilah yang Allah berikan. Alhamdulillah :)

Jadi anak soleh solehah
Setelah tamat pengajian, maka tamatlah juga aku menceburkan diri dalam Fizik Kesihatan. Namun, cita-cita dan impian ku tidak pernah padam untuk menjadi pendidik. Aku teruskan impianku menjadi guru ganti sebanyak dua kali di daerah kelahiranku. Hinggalah suatu hari, Allah SWT mengizinkan aku bergelar seorang "ustazah" selama setahun lebih di Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari, Kota Belud. SubhanaaAllah...  Tidak ada perkara yang paling mengembirakan diriku, pabila anak didik yang tidak mengeanl huruf alif, kini lancar membaca Al-Quran.. Rupanya Allah telah mengaturkan kehidupanku dengan peristiwa yang cukup sempurna. 

Tibalah tanggal September 2012, aku mendaftar sebagai seorang pelajar di peringkat Sarjana Pendidikan dengan pengkhususan Fizik. Subjek Fizik sentiasa mengekoriku, walaupun aku tidaklah sehandal kamu dalam penguasaanya. Alhamdulillah, SubhanAllah syukur ya Allah. Akhirnya, aku berpeluang untuk menghayati, menelaah, dan mempelajari ilmu dalam bidang pendidikan dan insyaAllah ingin menguasainya.

Dengan ini, terlakarlah episod aku bergelar pelajar semula di Universiti Tarbiyah Malaysia. Medan awal pentarbiyahanku untuk menjadi seorang anak haraki suatu ketika dahulu. MasyaAllah, Maha Suci Allah yang telah menetapka segalanya-galanya. Dengan izin Allah yang Maha Kuasa, aku serahkan segalanya selepas tamatnya pengajianku selama empat sem yang sepatutnya tiga sem untuk pelajar "full time" seperti aku. Kerana cinta ilmu dan pensyarah terbaik yang mendidikku, aku menetapkan tekad menghabiskan pengajianku selama empat sem walaupun itu adalah tempoh yang agak lama kot ^_^. Apalah yang lebih ku inginkan melainkan niat ku untuk betul-betul menguasainya agar dapat diaplikasikan dimasa akan datang. InsyaAllah...

Hanya dengan izin dan kehendak Allah, setelah tamatnya pengajianku, ingin ku teruskan impian , cita dan cintaku untuk bergelar seorang pendidik dan berhajat menubuhkan sebuah institusi pendidikan bersamanya. Walaupun aku tahu, belum tentu siapakah pendamping hatiku yang bakal melayari suka duka bersama-sama. Namun ku pasti, dia sedang mempersiapkan dirinya untuk menjadi pendorong, penguat dan paling penting sebagai teman, ketua, pengkritik yang sentiasa setia bersamaku dalam merealisasikan cita dan cinta yang tidak pernah padam hinggalah hujung hela nafasku. Tidak hari ini, ada hari esok. Tidak tahun ini, ada tahun depan dan tidak diri ini, biar zuriat meneruskan. Semua hanya dengan kehendak dan izin Allah SWT. InsyaAllah...
READ MORE –

Friday, August 5, 2011

ANAK SOLEH KENA DENGAR CAKAP USTAZAH!

"Macam ni ke sikap anak soleh tak dengar cakap ustazah?! Kawan tengah menghafal tak boleh bising!" marah ana didalam kelas tahfiz 1. Semua terdiam membisu ada juga menyorokkan muka seperti tikus yang ketakutan melihat seekor kucing ^_~

"Ustazah-ustazah, budak lelaki kelas tahfiz 2 mandi didalam tandas, diorang berenang didalam kolah!", jerit seorang pelajar muslimat sambil berlari masuk kedalam kelas tahfiz 1. Astaghfirullah, zikir ana didalam hati. Sabar wahai diri. "Ya, Allah berikan hambamu kesabaran yang tinggi untuk menghadapi karenah anak-anak soleh di bulan ramadhan ini. Sesungguhnya aku sedang berpuasa.." 

Dengan segera ana meluru ke tandas sambil memegang rotan. Lagak seperti guru disiplin. Kunco-kunco ramai mengikut dibelakang sambil menjadi batu api. Allah. tergelak didalam hati. 

"Ustazah datang!ustazah datang!ustazah datang!" jerit seorang pelajar memberikan amaran. 

Pada suatu petang, "ustazah, ana rasa ana macam guru disiplin.." gurau ana kepada seorang ustazah di pusat tahfiz. "ha, baguslah tu ustazah jadi guru disiplin. Kesian ustaz seorang yang handel pelajar-pelajar tu.." cadangan seorang ustazah kepada ana. Cadangan beliau disambut dengan gelak ketawa diantara kami. Kebetulan pada ketika itu ustaz tengah sibuk menguruskan hal kontrak pembangunan fasa kedua Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari. Pembangunan fasa kedua adalah bertujuan membina rumah anak-anak yatim dan ibu tunggal. Kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan wang ringgit kepada pusat pengajian adalah sangat dialu-alukan. Boleh hubungi ana melalui handphone, FB ataupun email.

"Rafiq hafal dua ayat ni dulu tau. Lepas rehat jumpa ustazah semula ya. Pergi minta ajar kat hafizuddin."
Hafizuddin(kiri) membantu Rafiq untuk menghafal
Hafizuddin tidak kenal erti berputus asa untuk membantu sahabatnya
sampai terlentang diatas lantai. Alhamdulillah, akhirnya rafiq berjaya menghafal, bukan sahaja 2 ayat yang berjaya dihafalnya tetapi 5 ayat sekaligus. Subhanallah.
"Baik ustazah.."sahut Rafiq.. "Siapa lagi nak baca??" "Saya ustazah,saya ustazah." Berebut meluru kearah ana untuk mendengarkan bacaan masing-masing.

Perkongsian sedikit daripada ana mengenai karenah anak-anak soleh. Banyak ana belajar mengenai perkataan sod ba ro. Tambah-tambah lagi dibulan ramadhan yang penuh barokah, berlipat ganda pahala Allah SWT berikan, maka berlipat kali gandalah juga kesabaran yang di gunakan.

Kesimpulannya, perkataan SABAR juga disebutkan didalam Al-Quran dan hadis Rasul Saw. Diantaranya;
 “..…dan orang-orang yang bersabar dalam kesulitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 177)
“......Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” (Ali Imran: 146)
“Dan bersabarlah kamu, karena sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)
“…Dan para malaikat masuk kepada tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkan); keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.(Ar-Ra'd: 23-24)
 “…barang siapa yang mensabar-sabarkan diri (berusaha untuk sabar), maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…” (HR. Bukhari)

“Orang yang kuat bukanlah yang pandai bergusti, namun orang yang kuat adalah orang yang memiliki jiwanya ketika marah.” (HR. Bukhari)

 
Wallahualam..
READ MORE –

Tuesday, February 8, 2011

Dulu Aku Seperti Mereka, Tapi Kini...

Hari ini, merupakan minggu ke-2 ana bergelar guru ganti di SMK Pekan II KB dan hari ini juga, merupakan hari perhimpunan para pelajar di setiap sekolah. Uniknya, perhimpunan yang ana ikuti pagi tadi lain daripada yang lain. Dimana, guru-guru panatia Sains Sosial telah mengadakan pelancaran bulan Sains Sosial yang dirasmikan oleh Pengetua sekolah. Perasmian perlancaran yang dilakukan oleh Pengetua iaitu dengan memecahkan belon yang tergantung pada sebatang buluh dengan menggunakan penyumpit daripada suku kaum murut. Sasaran sumpit yang tepat daripada Tuan Pengetua, membingitkan lagi suasana didalam dewan dengan tepukan dan sorakkan daripada pelajar-pelajar dan guru-guru.
Gambar hiasan semata-mata
Para pembaca yang dirahmati Allah SWT. Biar ana mulakan dengan muqadimah perjalanan hidup sebagai seorang guru sementara ^_^. Sebelum ana memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik Kesihatan pada bulan 9 yang lalu, Allah telah mengurniakan ana rezeki untuk mengajar di dua buah sekolah dengan sistem dan tahap yang berbeza. Sekolah pertama ialah Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) selama dua bulan. Seterusnya ana mendapat tawaran sebagai guru ganti di sekolah rendah (SK Piasau) selama 3 bulan. Selepas bergelar graduan daripada UTM Skudai, ana meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba Allah dan mendapat tawaran lagi untuk mengajar di sekolah menengah (SMK Pekan II). Tempat yang ana mengajar sekarang. Nah, sekarang daripada dua buah sekolah, ana telah mengajar tiga buah sekolah dengan tahap, sistem, subjek, suasana yang sangat-sangat berbeza. Ibarat mendidik anak-anak dari kecil hinggalah ke usia remaja. Sebenarnya cerita diatas hanyalah salingan sebelum ana membawa maksud yang lebih tersirat lagi. Moga ia bisa difahami.


Dulu, ana pernah seperti mereka. Hidup bersama teman-teman mencari makna hidup yang sebenar. Dulu ana pernah seperti mereka mempunyai jiwa remaja yang sentiasa inginkan keseronokkan, seorang "taiko" besar di sekolah, mempunyai jiwa dan semangat berkobar-kobar untuk mencuba sesuatu perkara. Dulu, di bibir tak pernah lekang mengucapkan "Selamat pagi cikgu, assalammualaikum cikgu, assalammualaikum ustaz/ustazah". Tapi kini... Ana adalah seorang guru. Ucapan-ucapan tersebut adalah ucapan rutin yang sentiasa didengari oleh seorang insan yang bergelar GURU. Nampaknya guru ganti lebih bertuah daripada guru "hakiki" kerana setahu ana, kementerian akan menempatkan para guru yang akan mengajar mengikut kelulusan masing-masing. Contohnya, pelajar pendidikan kelulusan universiti, kebiasannya akan mengajar di sekolah menengah, pelajar pendidikan kelulusan institusi perguruan(IPG) pula akan mengajar di sekolah rendah. Betulkan sekiranya ana tersilap ~_^ . Walaubagaimanapun, antum adalah seorang guru yang hebat seperti ibu dan bapa ana. Promosi mak ayah.

Pembaca-pembaca yang dikasihi kerana Allah SWT, selama ana bergelar seorang guru, banyak yang ana pelajari daripada mereka. Siapa mereka pada hari ini, itulah ana pada masa dahulu. Dengan usia dan tahap mereka yang berbeza, mengajar ana untuk menjadi seorang ibu, kakak dan seorang sahabat yang baik. Bukanlah bermaksud dirumah tidak mengajar itu semua. Tidak dinafikan pendidikan awal kita, segala-galanya bermula dari rumah."Rumahku, Syurgaku." Bermula mengajar di PASTI Al-Firdaus, anak-anak kecil dididik dengan keindahan Islam. Perhimpunan pagi dimulakan dengan bacaan doa, berikrar untuk hidup dan mati Lillahita'ala. Menyanyikan lagu rasmi PASTI se-Malaysia yang mengandungi lirik kisah hidup Rasulullah SAW. Anak-anak kecil juga diajar menghafal doa-doa harian, meghafal nama-nama para nabi, para malaikat dalam bentuk nyanyian. Subhanallah ia sungguh indah. Niatkan didalam hati antum untuk memastikan adik-adik, anak-anak kita akan bergelar graduan daripada PASTI suatu hari nanti. Insyallah. Seterusnya ana berpindah ke sekolah rendah. Di sekolah ini pula, mengajar ana 1001 pengalaman. Perhimpunan pagi dimulakan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri, lagu sekolah dan seterusnya, pembacaan ikrar sebagai rakyat Malaysia. Akhir sekali barulah pembacaan doa daripada wakil pelajar. Berbeza bukan. Hanya dilihat pada perhimpunan pagi kita boleh perhatikan bagaimana sistem pendidikan pada hari ini agak membimbangkan. Sudah tentulah konsep dan gaya pengajaran berbeza daripada sebelum ini. Bagaimana pula di sekolah tempat ana mengajar sekarang? Oh, lagilah banyak perbezaan yang boleh dibandingkan. Mendidik anak-anak pada usia remaja lagi banyak cabarannya. Dalam linkungan usia 13-17 tahun, rakan-rakan disekeliling memainkan peranan yang sangat penting. Ia akan menentukan halatuju anak-anak tersebut, adakah menuju ke kanan atau ke kiri. Kebiasaanya sikap dan tingkahlaku mereka ini yang akan dipengaruhi oleh rakan sebaya. Sekiranya kamu ingin mengetahui bagaimana sikap seseorang itu, maka lihat pada siapa teman akrabnya.

Dengan usia yang berbeza, sudah tentu pembawaan dakwah seorang guru juga berbeza. Alhamdulillah, dengan berstatuskan ahli gerakan Islam, sebenarnya ia merupakan satu keistimewaan yang cukup baik. Ya, kenapa tidak pembaca-pembaca yang di redhai Allah, sebagai seorang ahli gerakan Islam yang faham, guru tersebut akan lebih memahami tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Ini kerana, dia bukan sahaja ingin melihat pelajarnya berjaya di dunia, malah dia ingin melihat pelajarnya memperolehi kejayaan diakhirat yang kekal abadi. Walaupun, dia hanyalah seorang guru Matematik, guru Pendidikan Seni Visual ataupun guru yang bukan mengambil pengkhususan agama, pasti setiap bait pengucapannya akan terselit amar makruf nahi mungkar. Jiwanya sentiasa subur dengan nilai-nilai Islam semata-mata ingin melihat generasi yang dididiknya ini menjadi penyambung untuk menegakkan Islam di muka bumi.

 Ana agak tersentuh dengan kata-kata ust Nasruddin At-Tantawi ketika pembentangan kertas kerja semasa Ijtima' Tarbawi yang lepas, beliau ada menyebutkan mengapa para pelajar sekarang kurang menghormati gurunya. Salah satu perkara yang ana ingat hingga kehari ini ialah penyusunan tempat duduk seorang guru dan pelajar. Kedudukan ketinggian tempat duduk seorang guru dan seorang pelajar didalam kelas tidak ada perbezaan. Seperti yang kita ketahui, konsep pengajaran secara bertalaqi, merupakan kaedah yang diguna pakai oleh para ilmuaan Islam yang terdahulu. Malah kaedah ini masih lagi diguna pakai di pondok-pondok yang terdapat di Malaysai. Di mana guru duduk lebih tinggi daripada pelajar. Disini kita boleh lihat, bagaimana dalam Islam itu sendiri sanagat menitik berat pentingnya memberi penghormatan kepada guru. Mengimbas kenangan ana bersama sahabat-sahabat berkesempatan mengikuti kuliah maghrib di Masjidil Haram sewaktu rombongan sambil belajar ke Mekkah dan Madinah yang dianjurkan oleh PI UTM, pengajaran secara bertalaqi masih lagi diguna pakai. Walaubagaimanapun, inilah hakikat sistem pendidikan di Malaysia yang harus diterima. Jadi persoalannya, bila lagi kita kalau bukan kita yang akan mengubahnya? Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Buat insan yang bergelar guru, SABAR adalah kunci yang perlu ada dalam setiap hati dan jiwamu.
Perkongsian yang ana sampaikan hanyalah sedikit daripada apa yang dilalui. Semoga ada input yang diperolehi oleh pembaca-pembaca walaupun sedikit. Kerana itu sudah cukup memadai bagi ana. Wallahualam..
READ MORE –

Friday, January 28, 2011

Aku dan Kek Coklat Cair

Assalammualaikum wbt.

Post kali ini ana ingin mempromosikan kek coklat yang berkrimkan coklat cair yang ana buat untuk menambah pendapatan diri sendiri, demi masa hadapan ~_^

Kek yang sudah siap dipotong. Jangan tengok pada potongan, tp tengok pada rasanya :)
RM 1.20 per 2 pices
Walaupun kek tidaklah seindah wajah, tapi rasanya pasti memikat hati si perasa, Insyallah. Belum cuba belum tahu. Kek yang dibuat tidaklah sehebat Kek Resepi mahupun kek yang dihasilkan daripada kilang-kilang kek. Rasanya simpel, tapi pasti menjilat jari. Kek yang disaluti krim coklat cair dan ditaburi dengan coklat rice pasti menambah selera anda.

Pembaca-pembaca yang diredhai Allah SWT, kita stop sebentar dengan kelazatan kek coklat, kita kembali kepada mesej sebenar yang ana ingin kongsikan. Seperti post ana yang sebelum ini, ana pernah menyentuh tentang rezeki Allah begitu luas bagi para hambanya. Ya, itu memang tepat sekali. Tetapi kita seharusnya ingat, rezeki tersebut tidaklah datang bergolek dengan sendirinya. Tanpa usaha yang gigih dan hanya menggoyangkan kaki, sama sekali tidak akan mengubah nasib kita. Ana bawakan terjemahan surah Ar-Ra'd untuk dihayati bersama.

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."(Ar-Ra'd : 11)


Kepada pembaca-pembaca yang budiman, sekiranya antum punyai sesuatu kemahiran, maka gunakanlah kemahiran tersebut dengan sebaiknya. Wang yang diperolehi bukan sahaja boleh digunakan untuk simpanan diri sendiri, malah boleh digunakan untuk kita membantu jemaah dimasa hadapan.

RM 25.00
Sekadar itu sahaja untuk kali ini. Tempahan hanya boleh dibuat disekitar Kota Belud sahaja :) Insyallah buat sahabat sahabiah UTM yang bakal menjejakkan kaki di Sabah bulan 5 nanti, ana akan hidangkan dengan kek coklat yang special daripada ana.
READ MORE –

Wednesday, January 26, 2011

Rezeki Allah Buat Pejuang Agama-Nya

Alhamdulillah, kalimah pertama yang terbit dari bibir selepas ana menekan button off pada handphone. Pagi tadi, ana mendapat panggilan daripada timbalan pegawai pendidikan daerah Kota Belud. Esok, ana akan mula mengajar di SMK Pekan2 Kota Belud bagi menggantikan guru yang cuti bersalin selama 3bulan.
"Assalammualaikum, nazirah dah kerjakah? saya Cikgu Laugan ingin menawarkan jawatan guru ganti di Pulau Mantanani selama seminggu. Gaji RM 10.00 sehari."

Murid-murid SK Mantanani
Ana terdiam, sambil monolog di dalam hati. Pulau Mantanani? Huhh, buat pengetahuan pembaca yang dikasihi Allah SWT, Pulau Mantanani merupakan sebuah perkampungan luar bandar yang terdapat di Kota Belud. Sebuah perkampungan yang terletak di persisiran pantai dan jauh daripada pekan KB. Bot laju merupakan pengangkutan utama untuk sampai ke kampung tersebut.

"Errm, cikgu, ada penempatan ke kat sana nanti?" ana bertanya. "Oh, itu tiada. Awak kena berkhemah di tepi pantai.."

Allah...ana hampir hilang kata-kata. Nak cakap tak nak, bimbang tak ditawarkan lagi menjadi guru ganti. Kata nak pula, terbayang ana mendirikan khemah di persisiran pantai.

"Cikgu, nanti saya bincang semula dengan mak bapa saya ya." "Cikgu gurau saja, awak nak tak kalau cikgu tawarkan mengajar di SMK Pekan 2?mengajar subjek biologi."

Subjek biologoi? sebuah subjek yang tidak pernah terlintas di fikiran ana untuk mengajar. Kenapa tidak? Selama ana bergelar pelajar sains hinggalah kehari ini, ana tidak pernah belajar matapelajaran tersebut. Bagaimana ana nak mengajar anak-anak murid nanti? Itu bukan bidang yang ana mahir. Matematik, fizik, matematik tambahan itu, Insyallah.

Pembaca yang diredhai Allah SWT, cerita diatas hanyalah iklan semata-mata. Pada hakikatnya, terdapat maksud yang lebih besar yang ana ingin sampaikan. Apa yang ana ingin sentuh disini ialah pemberi rezeki itu adalah milik Allah SWT. Allah berhak memberikan kurniannya, kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Lebih-lebih lagi buat para pejuang agama Allah. Jangan bimbang andai kita tidak lagi berkerja tetap. Jangan bimbang walaupun kita berkelulusan Sarjana Muda atau sebagainya kita masih belum menerima mana-mana panggilan daripada syarikat-syarikat besar kerana rezeki Allah itu sungguh luas.

Ingin ana ingatkan disini, istilah penganggur seharusnya hilang daripada kamus kehidupan seorang pejuang agama Allah. Siapa kata kita penganggur? Kita sebenarnya berkerja untuk Allah. Majikan kita adalah Allah. Gaji hasil daripada titik peluh kita telah tersedia dan hanya menunggu masa untuk diserahkan.


"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?"
"(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang terbaik bagimu, jika kamu mengetahui,"
"Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Seseungguhnya itulah keberuntungan yang besar,"
(As-Saff:10-12)

Ayuh kita renungkan makna surah As-saff diatas. Semoga ia menjadi kekuatan bagi sesiapa sahaja yang menggelarkan dirinya adalah pejuang agama Allah.
Kata-kata terakhir ana sebelum menekan butang off, "Baiklah cikgu. Saya terima. Petang ni saya ambil surat perlantikan di pejabat."


Insyallah, apa sahaja yang kita lakukan kerana Allah, Dia pasti akan membantu para hambanya. Melangkah keluar daripada pejabat pendidikan, ana bernekad ana akan tubuhkan kumpulan usrah disekolah tersebut. Biiznillah..
READ MORE –