Friday, July 15, 2011

Anak Permata Ayah Bonda. "Ustazah boleh ajar kami baca doa untuk ibu bapa?"


Seringkali kita mendengar yang zaman sekarang anak-anak makin ramai yang derhaka kepada ibubapa. Disebalik fenomena yang berlaku ini adakah ibubapa mengkaji dan merenung sejenak kenapa anak-anak pada hari ini semakin nakal, jahat dan menderhakai kepada ibubapa mereka? Jika ibubapa mendidik anak-anak dengan betul mengikut gaya hidup islam perkara sebegini dapat dikurangkan. Apabila anak derhaka kepada ibubapa, kita bising tetapi adakah kita telah mendidik anak-anak kita dengan betul? Didikan agama yang cukup? Apa kata kita lihat dahulu kisah di bawah ini:

mendidik anak-anak mengikut acuan Al-quran
Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.

Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?”

Umar menjawab: “Ya.”

Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?”

Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik, dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran.

Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.”

Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.
Nah, sudah jelas bahawasannya derhaka bukan hanya kepada ibu bapa sahaja, malah derhaka kepada anak-anak juga kerap terjadi, lebih-lebih lagi di era hari ini.

"Ustazah, bolehka nanti ajar kami doa ibu bapa?" "Boleh, nanti ustazah ajar ya, sekarang kita baca iqra' dulu." pujuk ana kepada seorang murid di pusat pengajian tahfiz, tempat ana mengajar sekarang.

"Ok, ikut ustazah baca doa untuk ibu bapa. Tadah tangan, bismillahirahmanirahim;"

Terpancar dari wajah suci dan keikhlasan di hati anak-anak kecil ketika ana mengajar mereka membaca doa tersebut.

Mendidik zuriat bukanlah hanya bermula selepas kita sudah berumahtangga atau sudah pun memperolehi zuriat didepan mata, akan tetapi mendidik anak-anak hendaklah bermula dari individu itu sendiri sebelum dia bergelar seorang isteri/suami lagi. Semoga generasi pewaris kita hidup dalam jalan yang diredhai oleh yang Maha Esa. Ameen..

Wallahualam.

1 comment: