Muslimat Harakah
Setiap muslimah pendokong harakah mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan Jama’ah ke mercu kejayaan. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan yang lemah lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada perjuangan Islam.
Sejak awal kelahiran Islam, muslimah sentiasa turut serta mengharungi liku-liku perjuangan, menghadapi rintangan, memberikan bantuan dan semangat, pengorbanan harta benda, melepaskan anak-anak dan suami yang mereka cintai malah ada di kalangan mereka yang gugur syahid kerana perjuangan Islam.
“Wahai Nabi, apabila perempuan-perempuan yang beriman datang kepada kamu untuk mengambil janji setia bahawa mereka tidak akan mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, mereka tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anaknya, tidak berlaku bohong yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak menderhakakan dalam perkara yang baik, maka hendaklah engkau menerima janji setia mereka dan mohonkanlah keampunan kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang”.
( Surah Al-Mumtahanah:12)
Khadijah binti Khuwailid salah seorang daripada penghulu segala wanita di dunia ini merupakan contoh muslimah yang terlibat secara langsung dalam Harakah Islamiah. Beliau merupakan simbol wanita yang beriman dan jujur, bersifat dermawan dan setia, seorang wanita yang berani dan terdidik serta petah berkata-kata. Sebagai seorang wanita berada, beliau mengorbankan seluruh kepentingan kebendaannya untuk tujuan dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah serta mula dimusuhi oleh orang-orang Quraisy. Sumaiyyah, isteri Yasir dan ibu kepada Ammar, pula telah disiksa oleh orang-orang Quraisy sehingga mendapat penghormatan sebagai syahid yang pertama bersama suaminya Yasir. Selain itu, nama-nama yang menjadi penggerak dalam perjuangan Islam seperti Fatimah binti Al-Khattab, Asma’ binti Umais (isteri Ja’afar b. Abi Talib), Aminah binti Khalid (isteri Khalid b. Said), Hafsah binti Umar (isteri Khurasi’ b. Huzafah) dan ramai lagi patut dikenali dan menjadi contoh kepada muslimah zaman kini.
Baitul Muslim Seorang Muslimat Harakh
Muslimah, sebagai isteri, mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya serta berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah muslimah menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam dan janganlah memberatkan suami dengan perkara yang remeh-temeh. Bagi urusan yang boleh diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. Mereka juga hendaklah melatih diri sebagai seorang isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.
Wanita Islam juga mesti berhati-hati dalam memilih calon suaminya. Jangan jadikan suami sebagai alasan yang membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi juga yang dapat memberikan kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
Ketaatan kepada Islam menjadikan muslimah ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seseorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Muslimah sepatutnya menanam sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi. Begitu juga mereka sewajarnya menjadi ibu yang dapat meniupkan ruh perjuangan Islam dalam diri anak-anak dan sentiasa mendedahkan anak-anak kepada setiap aktiviti dalam kegiatan harakah.
Jihad Dan Pengorbanan Muslimat Harakah
Jihad dalam ertikata yang ringkas ialah ‘perjuangan untuk mempertahankan kemurnian Islam di peringkat diri, masyarakat dan negara. Di zaman awal Islam, wanita terlibat di dalam berbagai-bagai bidang jihad. Contohnya dalam mengurus rumahtangga, mereka melakukan kerja rumah dengan tangan-tangan mereka sendiri, seperti puteri Rasullah s.a.w Fatimah Az-Zahra.
Dalam menghadapi situasi penyelewengan zaman kini, jihad menerusi keilmuan adalah penting kerana peranan muslimat untuk menimba ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain adalah sangat-sangat diharapkan. Muslimah memainkan peranan penting dalam menyebarkan ilmu Islam kepada manusia seluruhnya, dan mereka hendaklah memahami bahawa peranan ilmu yang disampaikan itu bermatlamat menegakkan hukum-hukum Allah di atas muka bumi ini.
Muslimah juga perlu melibatkan diri di dalam jihad menghadapi musuh-musuh Islam dan seharusnya memahami serta sedar tentang kepentingan untuk menjaga strategi dan kerahsiaan harakah, menjaga dan melindunginya. Mereka mesti meyakini matlamat dan arah perjuangan yang mereka dokongi. Mereka jangan mudah ditarik oleh anasir-anasir yang menyebabkan mereka lari daripada perjuangan yang diikuti selama ini.
Di dalam masyarakat, Muslimah mesti pandai menyesuaikan diri dan memahami peranan mereka. Jika dahulu Islam terpaksa berhadapan dengan orang-orang yang jahil dan degil dalam masyarakat jahiliyah, hari ini terpaksa pula menghadapi cendiakawan Barat termasuklah para orientalis yang mengkaji Islam dan berusaha untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam. Justeru itu, sebahagian wanita Islam kini yang memiliki ijazah, pekerjaan dan pangkat tidak lagi memainkan peranan yang serius dalam kebangkitan semula Islam. Pergaulan bebas lelaki perempuan pula menjadi perkara yang lumrah di mana-mana dan hanya segelintir saja umat Islam yang bimbang akan permasalahan ini.
Suatu hal yang perlu diambil kira oleh wanita Islam kini terutamanya yang terpaksa memikul tanggungjawab ditempat kerja dan tanggungjawab di rumah. Mereka hendaklah memastikan kedua-dua tanggungjawab ini dilaksanakan dengan dengan sempurna selain tidak mengurangkan sedikitpun penglibatan mereka di dalam Harakah Islamiah.
Wallahualam
Artikel asal: http://dmpserdang.com
No comments:
Post a Comment