Wednesday, February 2, 2011

Inginku Sampaikan Pesanan yang Sama Sepertinya

Tahun lalu seorang sahabat seperjuangan ana telah meminjamkan sebuah novel cintanya untuk dihayati bersama. Novel cinta yang baik dan penuh penghayatan. Membaca Novel Cinta? Wah! sangat kontroversi buat mana-mana yang menggelarkan dirinya anak harakah Islam. "Masih sempat lagi rupanya nazirah ni membaca novel cinta". Ini adalah salah satu usikan yang sering didengari bilamana ada anak-anak harakah yg membaca novel. Sabar dulu pembaca yang dirahmati Allah SWT, novel yang ana maksudkan adalah sebuah novel kisah realiti sebenar yang ditulis sendiri oleh serikandi harakah Islam iaitu Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili. Buat para pengemar buku, suda tentu antum dapat meneka tajuk buku yang ana maksudkan.  


Hari-hari dalam hidupku mengesahkan penderitaan, penyekasaan yang dialami oleh serikandi Islam Ikhwanul Muslimin di Penjara Tentera Mesir. Kisah liku-liku kehidupan beliau membuatkan ana tertarik dan jatuh cinta sehinggakan kisah yang diceritakan, membuatkan airmata tanpa segan silu mengalir dipipi. Kisah penyeksaan dengan kesakitan yang dilalui oleh beliau juga seolah-olah dapat dirasai sehinggakan perasaan muak dan benci, terhadap pemerintahan regim Jamal Abdul Nasser timbul disanubari.

"Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki."

Apa yang ana ingin kongsikan hari ini bukanlah cerita keseluruhan daripada buku tersebut. Tetapi suatu pesanan yang bermakna yang beliau sampaikan buat zaujnya sebelum akad dilafazkan dan beliau mengingatkan semula pesanan yang pernah disampaikan selepas itu. Pesanan ini juga amat berguna buat mana-mana puteri harakah Islam yang menginfakkan sepenuh jiwanya dalam perjuangan Islam. Moga semua putera harakah Islam turut memahaminya.

Sebelum itu, biar ana ceritakan serba sedikit tentang latar belakang serikandi gerakan Islam abad moden ini. Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili merupakan seorang pejuang dakwah. Sejak zaman remajanya lagi, beliau telah bertekad untuk mewakafkan dirinya untuk menegakkan kesucian Islam. Beliau merupakan seorang pengasas kepada penubuhan Jamaah Muslimat pada tahun1937 iaitu sebelum beliau bertemu dengan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dan memberikan baiahnya kepada As-Syahid Imam Hassan Al-banna untuk menjadi anggota Ikhwanul Muslimin. Penyeksaan demi penyeksaan dihadapi oleh beliau demi mempertahankan kebenaran yang beliau yakini. Pada tahun 1971, beliau telah dibebaskan daripada penjara dan digugurkan daripada semua tuduhan-tuduhan palsu yang telah direka terhadap dirinya.

Berikut merupakan pesanan-pesanan beliau buat Al-Marhum Muhammad Salim, zauj yang dikasihi kerana Allah SWT;

"Aku masih ingat lagi apa yang telah aku katakan kepadamu. Sesungguhnya ada satu perkara dalam hidup ini yang wajib kau ketahui, kerana kamu akan menjadi suamiku. Selagi kamu bersetuju untuk berkahwin denganku, aku perlu memberitahumu syarat tersebut supaya kamu tidak tertanya-tanya di kemudian hari. Syaratku ialah aku tidak akan berhenti dalam perjuangan ini..."


"Sungguhpun aku belum melangkah dalam kemuliaan rabbani ini walaupun selangkah, namun aku yakin akan melangkah ke dalam jihad ini pada suatu ketika nanti. Itulah cita-cita dan tekadku. Apabila berlaku pertembungan antara kepetingan peribadi dan urusan ekonomimu dengan amal Islamku, dan aku dapati kehidupan rumahtangga menjadi halangan kepada dakwah dan pembangunan dakwah Islam, maka kita berdua berada dipersimpangan jalan."

"Aku tidak meminta kamu menyertaiku dalam jihad ini, tetapi aku hanya mensyaratkan supaya kamu tidak menghalangiku daripada berjihad di jalan Allah. Pada hari-hari aku dibebankan dengan tanggungjawab dalam barisan mujahidin, janganlah kamu bertanya apa yang aku buat. Tetapi hendaklah kita berdua percaya mempercayai sepenuhnya..."
 
"Sekiranya kepentingan rumahtangga bertembung dengan dakwah kepada Allah, pernikahan itu akan tamat dan dakwah kekal bersemarak segenap diriku." 

"Aku tahu bahawa, adalah menjadi hak kamu memerintah aku dan menjadi kewajipan aku untuk memberikan taat setia kepadamu. Tetapi, didalam jiwa kita, Allah adalah lebih besar daripada kita. Dakwah Allah lebih mahal daripada kita. Kita sekarang sedang berada pada suatu marhala(tahap) yang penting dan genting, didalam marhala dakwah."

Allahhu Robbi. Pesanan yang ringkas tapi amat bermakna dan tersirat. Hanya mereka yang bisa memahaminya dan bersetuju dengan pesanan yang disampaikan. Moga ia menjadi pedoman buat putera dan puteri harakah Islam.

5 comments:

  1. Subhanallah...

    Pesanan yang ringkas, tapi berat buat yang gagal memahami. Moga ALLAH beri kekuatan untuk menjadi seperti itu..Ameen.

    ReplyDelete
  2. ameen ya robb..betul enti.hanya yg terpilih oleh Allah shj yg mampu memahaminya

    ReplyDelete
  3. dan kini...mesir menuntut kehadiran seorang zainab al-ghazali...

    ReplyDelete
  4. Allah..ya kak..zainab al-ghazali ada pada semua jiwa2 muslimat harakah Islam.tp ia perlu dcari..insyallah akn kita temui.tdk hari ini.mungkin generasi kita nanti..

    ReplyDelete
  5. novel cinta ni memang best..pernah baca dulu sebelum pergi satu masa dan tempat yang menjadikan aku seperti aku...semoga ada zainab di dalam kita..

    ReplyDelete